Saya Memang Bukan Budak Agama, Tapi Saya Mahu beragama
Mujahadah. Entah anda setuju atau tidak. Tapi ada kebenarannya. Realiti kehidupan adalah perlu survive diri sendiri. Jgn harap org lain ubah kita. Tapi kitalah yang ubah diri kita sendiri.Cumanya, beza orang yang ada asas tarbiyyah agama (dari sekolah agama) dengan tidak; andai seseorang yang ada asas agama kemudian berubah jadi individu yang teruk, suatu hari kerana asas agama itu jugalah yg akan bawa dia pulang ke pangkal jalan. credit : – Muhammad Rusydi -
Saya Memang Bukan Budak Agama
Ya. Saya bukan budak agama, bukan
sekolah aliran agama. Saya akuinya. Jadi, saya setuju pada pendapat
saudara Muhammad Rusydi kita itu. Sebenarnya, jika di sekolah aliran
biasa, mujahadah itu AMAT diperlukan. Amat-amat.
Saya tak tahu apa yang ada di sekolah
agama, tapi nama pun sekolah agama, tentulah ISLAM 24 jam diamalkan,
secara sukarela atau terpaksa! Saya tahu tu, dan kalian-kalian juga
perlu akuinya.
Tidaklah saya nak kata sekolah biasa itu teruk atau sekular. Tidak.
Pengalaman saya, sekolah biasa di tempat
saya agak bagus dari segi pengurusan Islamnya. Lagi-lagi, semuanya
orang Melayu 100%. Kalau dah Melayu, tentunya Islam, terkejut KING KONG
la kalau ada Melayu yang bukan Islam kat sekolah tu kan. :)
Saya pula
sebagai seorang pelajar sekolah biasa dari tadika hingga tamat Tingkatan
5, amat merasai perbezaannya. Lagi-lagi bila bergaul dengan budak-budak
sekolah agama di dalam laman sosial (FB).
Rasa macam : “Rendah dirinya aku, ilmu agama aku cetek, dia melangit ke angkasa”
Serius. Kadang-kadang, bila saya lihat
cara mereka-mereka berstatus, berkomen-komen, berdebat ilmiah, berkongsi
ilmu. Rasa jahilnya diri. Depa ni hebat sungguh la! Ilmu depa la. Tanpa
ilmu, siapalah kita kan.
Sebab tu saya pandang tinggi pada
budak-budak sekolah agama ni. Kalau dah bersekolah agama, tentulah
beragama kan. Tentu! Tentu sekali. Jadi, saya tabiklah dengan ilmu yang
ada pada mereka-mereka ini. (Jangan lokek kongsi ilmu, tahu? )
Jadi, tak perlu diraguilah bahawa
sekolah agama akan mentarbiyyah dan meng’islah’kan mereka menjadi insan
yang terbaik. Jika mereka sesat dari pangkal jalan sekalipun, dengan
ilmu yang dimiliki, mudah benarlah mereka kembali semula ke pangkal
jalan. Tidak syak lagi, ilmu itu cahaya kepada hati.
Seperti yang saya tuliskan tadi, saya
dari masuk menimba ilmu di tadika hinggalah tamat Tingkatan 5, saya
tidak merasai seperti mana pelajar-pelajar sekolah agama rasainya. Saya
dan mereka, berlainan sekali.
Dahulu, kalau nak dicerita kejahilan dan kedangkalan ilmu agama saya, amat teruk sekali.
Pada umur saya 15 tahun, saya masih
belum menutup aurat. Belum. Tapi, pada masa itu, mak saya amat tegas
soal itu. Jika saya mahu keluar dari rumah, dia akan suruh pakai tudung.
Jadi, saya ikutkan saja. Namun, walaupun
saya tahu perempuan Muslim wajib pakai tudung (tutup aurat), tapi saya
tak mengerti sepenuhnya sebab kita wajib bertudung. Tak mengerti
sepenuhnya, semasa itu.
Jika saya keluar berdekatan rumah pula,
saya langsung free hair saja. Semasa itu juga, solat juga tak terjaga,
walaupun ada juga solat tapi selalunya tidak penuh.
Mak dan ayah selalu mengingatkan semasa
waktu solat. Kadang-kadang, solat berjemaah. Tahap kefahaman Islam saya
hampir zero walaupun ada mak ayah mengajar serba serbi dirumah, dan guru
agama mengajar basic di sekolah.
Jahil sungguh bila mengenangkan waktu kegelapan dahulu. 18-15 = 4 tahun lepas.
Saya rasa, saya mula berubah apabila
masuk program Al-Falah iaitu Kem Bina Insan. Saya ada mencatatkan
tentang program tu di blog saya. Baca : Saya kini sukarelawan Al-Falah!
Ya. Program selama 4 malam 3 hari tu
sedikit sebanyak telah mengubah saya menjadi insan yang sedar akan
kepentingan agama dalam hidup.
Daripada tidak solat penuh, saya mula
berusaha penuhkan solat lima waktu. Itulah antara perubahan besar yang
saya dapat dari program itu.
Sesungguhnya saya bersyukur dipilih
ALLAH untuk menerima hidayah pada waktu itu, pada akhir usia 15 tahun
waktu itu, saya mula buat perubahan diri, selangkah demi selangkah.
Dan pada awal umur 17 tahun, saya sudah
pun menutup aurat sepenuhnya. Solat lima waktu penuh. Yang sepatutnya
menjadi wajib sejak akhil baligh pada umur 13 tahun lagi, saya sudah
lakukannya, tanpa syak wasangka lagi.
Sepenuh hati saya rela. Bukan mudah untuk melangkah sehingga ke tahap itu, Ya. Bukan semudah kata-kata.
Sekali lagi saya ulang, saya bukanlah
budak agama, bukan pelajar sekolah aliran agama, dari kecil hingga
besar, saya tidak terdedah sepenuhnya dengan baris-baris ayat agama.
Ilmu agama saya sangat-sangat dangkal.
Seperti contoh, saya tak faham apa itu itu fardhu ain, apa itu fardhu
kifayah, dan tak tahu apa perbezaan antara keduanya.
Ya. Ustaz Ustazah ada mengajar di
sekolah. Tapi, mereka mengajar hanya berdasarkan buku teks tanpa
kefahaman yang tak lebih dari sekadar hanya untuk lulus peperiksaan,
jadi saya agak gagal untuk memahaminya.
Sehinggalah usia saya sedikit dewasa dan pemikiran saya agak matang, 16 tahun.
Saya mulakan perubahan diri. Mahu mengorak langkah menjadi insan yang terbaik.
Ya. Budak sekolah biasa ini memang bukan
budak sekolah agama, tapi dia pasakkan dalam hati bahawa dia mahu
menjadi seorang yang beragama!
Ya. Beragama.
Jadi, sekarang. Saya sedar. yang banyak
mentarbiyyah saya menjadi seperti sekarang ialah bermula dengan
lagu-lagu nasyid berunsur ketuhanan. Saya banyak belajar dari lagu-lagu
tersebut.
Lirik-liriknya, saya dalami sepenuhnya
dan saya temui banyak barisan lirik yang membuka hati saya untuk terus
mencintai Islam dan mencintai diri yang sudah beragama Islam sejak dari
azali lagi ini.
Setelah itu, saya juga banyak belajar dari internet. Laman-laman sosial yang memaparkan ilmu-ilmu agama.
Saya baca, dan dari masa ke semasa, saya
menapis ilmu-ilmu itu dan akhirnya hanya ilmu yang benar saja yang saya
ambil dan jadikan sebagai panduan hidup.
Saya tak nafikan. Lagu-lagu nasyid dan
lambakan ilmu di alam maya lah yang telah membawa saya kepada permulaan
penghijrahan diri menjadi hamba-NYA yang lebih baik dari yang
sebelumnya.
Dan faktor-faktor yang lain juga seperti
keadaan sekeliling iaitu mak yang selalu beli buku-buku dan cd-cd
agama. Ayah yang selalu ajak solat berjemaah, kakak yang beragama juga
menjadi salah satu inspirasi untuk mengubah diri, ustazah-ustazah di
sekolah yang banyak melakukan program keagamaan dan pelbagai lagi faktor
yang lain.
Sesungguhnya, saya bersyukur, saya seperti sekarang.
Saya selalu berpegang dengan baris lirik lagu dari Devotees yang berbunyi “Jika kau rebah, jika kau kalah. Bersaksilah rahmat-NYA akan terserlah”.
Dan saya yakin bahawa setiap kali saya
rebah menghadapi hidup, akan ada suatu hikmah yang
mengiringinya.Meskipun saya masih lagi bertatih dan selalu tersungkur
rebah.
Selagi saya ada kekuatan iman, saya akan
terus berusaha untuk menjadi hamba-NYA yang lebih baik. Dari selangkah
ke selangkah. Saya cuba.
Dan yakin juga dengan keajaiban hadis dari Rasulullah S.A.W ini yang berbunyi:
“Barangsiapa yang Allah
menghendaki kebaikan padanya, maka Allah akan memberikan kefahaman
kepada dirinya dalam agama.” [Riwayat Bukhari dan Muslim]
Subhanallah. Saya bersyukur. Meskipun
saya bukanlah pelajar agama, tapi saya mahu beragama. Dan telah ALLAH
tunaikan sebaik saja saya mula berusaha untuk mencapainya. Maha Suci
ALLAH.
Comments
Post a Comment