Burung Tiong dan Sakaratul Maut
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah s.w.t kerana sehingga kini
kita masih lagi diberi kenikmatan untuk terus beribadah kepadaNya. Selawat dan
salam diutuskan kepada junjungan besar, Nabi Muhammad s.a.w, keluarga baginda
serta para sahabat baginda.
InsyaAllah, pada kali ini saya ingin berkongsi dengan anda semua
sebuah cerita yang mungkin ada di antara kita sudah pernah mendengarnya. Namun,
jadikanlah cerita ini sebagai pengajaran dan muhasabah diri yang terbaik buat
diri kita. Selamat Membaca!
**********
Seorang guru agama sering bermain-main dengan seekor burung tiong
yang tinggal di anjung rumahnya itu sejak kecil dan amat jinak dengannya.
Selepas terbang mencari makan, burung itu kembali ke anjung rumah guru itu.
Guru itu selalu menyebut kalimah syahadah dan akan diikuti oleh
burung itu. Guru tersebut terhibur dengan gelagat dan kepetahan burung itu
mengucapkan kalimah syahadah.
Pada suatu hari, ketika sedang asyik mendengar burung mengulangi
kalimah syahadah, guru itu terlelap. Sedang dalam masa yang sama, seekor kucing
sedang mengendap dan menunggu masa untuk menangkap burung itu.
Ketika guru itu terlelap, Si Kucing telah mengambil kesempatan
untuk menerkam burung itu. Guru terkejut mendengar bunyi bising burung tiong
yang kesakitan digigit, lalu guru itu bangun dan menghalau kucing itu.
Guru tersebut cuba menyelamatkan burung itu dari menjadi santapan
kucing itu, malangnya burung tiong itu telah lemah akibat digigit kucing tadi.
Burung itu mengerang kesakitan dipangkuan guru itu sehinggalah burung itu
terdiam, tanda nyawanya telah tercabut disebabkan oleh gigitan kucing tadi.
Dengan rasa sedih, guru menanam burung itu. Dia telah kehilangan
burung tiong yang selalu menjadi penghibur hatinya selepas penat mengajar.
Semenjak kematian burung tiong itu, guru itu selalu diam dan
termenung hingga menimbulkan tanda tanya pada anak-anak muridnya. Anak-anak
muridnya datang bertanyakan kenapakah guru itu termenung begitu sekali setelah
kematian burung tiongnya itu.
“Apakah guru terlalu sayangkan burung itu hingga menyebabkan guru
bersedih sebegini rupa?” tanya salah seorang anak murid guru itu.
Kemudian guru itu menjawab, kesedihannya terhadap kematian burung tiong
itu tidaklah membawa dia termenung sebegitu rupa, tetapi beliau memikikirkan
iktibar dari kisah burung itu membuatkan dia sering berfikir. Betapa burung itu
mampu berkata syahadah dengan baik walaupun tidak memahami apa yang disebutkan
itu.
“Cuba kalian bayangkan burung itu yang saban hari dimulutnya sering
mengucapkan dua kalimah syahadah yang telah diajarkan padanya, tetapi disaat-saat
kematiannya, dia hanya mengerang kesakitan dan tidak pun menyebut kalimah
syahadah yang selalu diucapkan sewaktu hidupnya. Dari peristiwa itu, saya
terfikir, apakah saya juga akan begitu disaat-saat sakaratul maut itu?”
“Walaupun saya sering mengajarkan kalian ilmu, Al-Quran, kita
sering beribadah bersama, tetapi saya amat takut tidak boleh mengucap ketika
itu nanti. Apakah saya mampu menahan sakitnya sakaratul maut hingga lupa
mengucapkan kalimah syahadah disaat-saat akhir hidup saya nanti?”
Barulah anak-anak muridnya tahu kenapa guru mereka sering termenung
selepas kematian burung tiongnya itu.
**********
MasyaAllah! Jika seorang guru yang alim, selalu mengajarkan ilmu
kepada anak-anak muridnya, dan sering beribadah kepada Allah sekalipun masih
takut akan kemampuannya untuk mengucap dua kalimah syahadah apabila sakaratul
maut datang menjemputnya, apatah lagi kita, yang masih kurang amal ibadah dan
juga ilmu. Mampukah kita mengucap dua kalimah syahadah apabila sakaratul maut
datang menjemput?
Oleh itu, ayuhlah semua, kita dalami kalimah syahadah kita dengan
amal ibadah dengan penuh ikhlas dan tawaduk. Mudah-mudahan kita tergolong dalam
golongan yang mampu mengucap dua kalimah syahadah disaat-saat sakaratul maut
menjelang tiba. InsyaAllah! Amin.
subhaanaallah wallahamdullilah wallailahaillahwallahuakhbar wallahaulawala kuataillah billah hilaaliyyilazim
ReplyDelete