Kisah Cinta Istana Syurga


Maaf cerita ini ditulis panjang. Harap kalian sudi luangkan masa berharga kalian membaca cerita ini. Ada hikmah dan pengajaran :)


***

“Kau nak pergi mana ni Aisyah, awalnya balik?”
Aisyah tergesa-gesa mengemas barang ke dalam tas tangan. Telefon bimbit sesekali ditinjau menunggu mesej dari seseorang.
“Wah mentang-mentang dah berpunya, lansung tak pandang aku sekarang eh?”
“Tak lah Nas, aku nak balik cepat ni suami aku dah tunggu. Aku balik dulu, sorry sorry, bye!” Aisyah ketawa, tidak sabar untuk pulang. Tunggu saya balik awak!
Aisyah singgah ke Restoran Salim untuk belikan makanan kegemaran suaminya. Lauk ayam masak sambal. 
“Abang tak suka lah lauk ni, abang suka lauk merah merah.” Irshad mengenyitkan matanya sambil menjeling ke arah dapur.
“Abang makan lauk tu ke? Semalam punya lah. Ya Allah abang, dah basi tahu tak?”
Irshad terkedu. “Eh..ah..yeke? Nampak macam sedap je.”, lantas berlari ke tandas.
Aisyah teringat lauk kegemaran suaminya, merah merah. Tergelak sendiri bila terfikirkan Irshad termakan lauk sudah basi. Ya Allah, bertuah punya suami. Tahu pun sakit perut. Perut lelaki. Tertawa sekali lagi sambil tangannya menutup mulutnya yang dilitupi purdah. Sepuluh ringgit dihulurkan kepada juruwang Restoran Salim dan Aisyah bergegas pulang.
“Abangg!”
Rumahnya sunyi, tiada siapa di dalam. Aisyah terlupa, salam diberikan. Teruja pulang sehingga terlupa untuk beri salam. Lauk sebentar tadi diletakkan dahulu atas meja, Aisyah meninjau ke luar. Irshad sedang berbincang dengan seseorang. Sejurus selepas itu tetamu tersebut keluar.
“Abangg! Hi!”
“Ya Allah ya Tuhanku. Ehh, sayang. Nasib baik tak tergugur juntung abang...erm..ada apa?”
Aisyah mencium tangan suaminya, terperanjat Irshad dibuatnya sergah dari belakang tingkap.
“Eee sebut jantung pun salah. Siapa tu bang? Tetamu ke? Meh lah ajak masuk Aisyah hidangkan minuman?” Aisyah mengangkat keningnya bersedia untuk menghidangkan Kopi istimewanya, Irshad tertawa.
“Eh tak ada apa lah. Itu erm..kawan abang. Meh pergi sana.” Irshad memegang bahu Aisyah membawanya ke meja makan. Aisyah memanjangkan lehernya meninjau ke luar untuk melihat tetamu sebentar tadi. Pulang.
Lauk dihidangkan, Aisyah membuka purdah dan tudungnya untuk tatapan suaminya. Khas untuk suami.
“Lawa isteri abang ni ye? Alhamdulillahhh.”
“Lawa kan abang? Suap lah makan kat saya sikit.” Aisyah membuka mulut untuk disuap nasi.
“Aduh abang tak reti lah suap-suap ni.”
Aisyah menjelingkan mata ke arah tangannya, menyuruh Irshad melihat bagaimana mahu menyuap. Irshad membelakangkan kepala. “Boleh makan ke ni?”
Aisyah memandang Irshad dengan mata tajam.
“Yelah. Suruh orang lain suap.”
Irshad ketawa sahaja melihat isterinya merajuk. Aisyah berlari ke atas, minta dipujuk. Irshad melihat sahaja. Nantilah aku pujuk.
Televisyan dihidupkan. Hai, macam perli sahaja televisyen ni. Cun cun keluar gambar orang tengah suap menyuap di meja makan. Ternganga mulut dibuatnya. Tuhan suruh aku pujuk ke ni? Dipandang nasi yang dihidangkan Aisyah tadi. Tersenyum. Tak apalah, aku hidup tak lama. Biarlah dia merasa kasih sayang.


****
“Betul ke awak mahu sertai kami? Kami tidak menjanjikan awak akan pulang hidup hidup. Tetapi Allah menjanjikan syurga untuk mereka yang syahid.”
Irshad menganguk dan tersenyum, itu yang diimpikan. Dia mahu syahid di medan perang. Borang diisi, dan Irshad sering berhubung dengan pengurus tersebut untuk hal-hal terkini.
Tidak lama selepas itu, Irshad bertemu dengan seorang gadis. Berpurdah. Pada mulanya Irshad hanya menundukkan pandangan tanda hormat pada wanita berpurdah, tapi ada sesuatu pada wanita tersebut yang menarik hatinya. Bila ditoleh, wanita tersebut sudah pergi. Tangan Irshad meneruskan untuk mengerah tenaga mengangkat paket-paket makanan yang akan dihantar ke Syria.
Malamnya dia termimpi dihadirkan satu cahaya, dan cahaya tersebut kerap menemaninya ke mana sahaja dia pergi dan menyuluh arah laluannya. Irshad pelik. Bila dia melihat ke arah cahaya tersebut, cahaya tersebut semakin menyejukkan mata. Irshad berfikir untuk mengambil cahaya tersebut menjadi temannya sepanjang perjalanan dalam mimpi. Dilihatkan Kaabah yang ingin sekali Irshad melawati, makam Nabi tercinta turut dilawati.
Irshad terus bangun dan menitiskan air mata. Ya Allah, aku merinduimu. 
Tubuh dibasahi dengan wudhuk, lantai dihiasi dengan sejadah. Irshad sergam beribadat dengan yakin dan bersemangat. Yakin bahawa Allah ingin membantunya.
“Along tak perlulah hantarkan duit pada mama. Mama serba cukup long.”
Dia menggenggam erat telefon bimbitnya, sejuk hati mendengar suara ibunya yang dirindui. Andai sahaja telefon itu ibunya, pasti sudah dipeluk erat-erat.
“Tak apa mama, along ikhlas. Mama buatlah simpan untuk pergi haji ke.”
“Terima kasih nak. Anak mama yang lain tak ada yang telefon mama bertanyakan khabar mama. Kadang-kadang mama duduk bersimpuh kat pintu menunggu anak-anak balik. Nanti ada masa along pulang ye nak. Mama nak along, bukan duit.”
Irshad menitiskan air mata, namun suaranya dikawal agar ibunya tidak mendengar dia menangis. Mujur telefon tidak merakam riak wajah. Pasti mama menangis kalau lihat aku menitiskan air mata.
“Kamu ni dah dewasa, patutnya kamu dah boleh berkahwin Ad”
Pengurus selesa memanggil Irshad dengan gelaran tersebut, mereka seperti kawan karib semenjak kebelakangan ini. Dengan azam yang sama. Jihad di jalan Allah.
“Saya ni siapa yang nak bang. Apa pun tak ada. Harapkan motor tu je.”
“Allah, tak perlu rasa kecil diri. Allah lebih murahkan rezeki mereka yang sudah berkahwin Ad. Ramai jadi living proof, malah mereka lebih bahagia dari sebelumnya.”
Irshad cuma membalas dengan senyuman. Tidak mampu disangkal, rezeki memang dilimpah ruahkan setelah berkahwin. Jika tidak pada harta, Allah akan buka pintu rezeki lain juga seperti anak-anak dan ilmu.
“Irshad...”
Dia memandang pengurusnya, Encik Zamri, terkejut kerana dia memanggil nama Irshad. Selalunya memanggil Ad. Irshad memandang ke arah mata Encik Zamri.
“Abang ada sepupu, anaknya baru pulang dari USIM tu. Ambil apa saya tak ingat. Ada sains-sains. Saya tak pandai sains ni. Kalau kamu nak, saya boleh minta kamu taaruf dengan anaknya. Kalau suka bolehlah berkahwin, saya tak larang pilihan kamu. Semalam dia ada datang, tak tahu kamu perasan ke tak.”
Hanya kuntuman bunga dibalas olehnya. Encik Zamri menepuk bahu Irshad kemudian beredar untuk membantu sukarelawan yang lain. Tubuh tersebut diperhatikan oleh Irshad sehingga hilang dari pandangan matanya.
“Berkahwin. Mampu ke aku?” Irshad mengeluh, tetapi tersenyum.


****
Genggam tangannya semakin berpeluh, senyuman terpaksa diukir walaupun bibirnya sendiri menggigil untuk tersenyum.
“Mari jemput masuk Irshad.” sapa Encik Ibrahim.
Terkejut kerana insan tersebut kenal nama Irshad.
“Abang Zamri kamu ada ceritakan pada saya tentang kamu. Saya sepupu dia. Banyak betul pujian dia berikan kepada kamu ye.” senyuman Encik Ibrahim melegakan hatinya.
“Saya biasa sahaja encik. Tiada apa nak dibanggakan.” Irshad merendah diri.
“Baguslah saya suka orang merendah diri macam kamu,” kedua mereka tertawa. Lega hatinya dan hilang rasa gemuruh yang tidak berhenti-henti dari tadi.
Mereka berdua duduk di ruang tamu, dihidangkan Mak Tam orang gaji mereka air sarsi sejuk. Terpegun dengan besarnya rumah Encik Ibrahim. Tidak pernah melihat rumah sebesar ini. Anak kecil berlari-lari dalam rumah ke arah seorang lelaki. Lelaki tersebut menghulurkan tangan kepada Irshad.
“Saya Rafiq, salam kenal.”
Irshad bangun berdiri untuk bersalaman dengan lelaki tersebut. Encik Ibrahim memberitahu itu adalah anak lelakinya yang sulung. 
“Kita sama-sama anak sulung, saya faham.” mereka berdua ketawa. Hanya anak sulung yang faham apa yang dibincangkan mereka berdua. Encik Ibrahim meminta maaf kerana isterinya outstation, tetapi sudah diberitakan mengenai taaruf ini dan isterinya turut berkenan.
Maka hadirlah Aisyah yang sebelum ini Irshad tidak pernah kenal namanya atau wajahnya. Aisyah melangkah ke tempat duduk sebelah ayahnya dengan tertib. Hanya mata yang dilihat dari kesemua wajahnya.
Usai sesi taaruf, dia pulang ke rumahnya dan berfikir panjang, namun diseliti senyuman. Telefon digenggam dan nombor ibunya ditelefon. Segala yang berlaku diberitahu kepada ibunya. Irshad dan ibunya sama-sama beristiqarah untuk mendapatkan keputusan.
“Soal mas kahwin, hantaran dan sebagainya, kamu jangan risau, saya akan cuba uruskan dengan wang saya dahulu,” pelawa Encik Zamri.
"Insha-Allah, kelak saya dapat tawaran bekerja saya akan pulangkan semula duit abang.”
Mereka berdua berpeluk. Encik Zamri gembira kerana anak muda ini diberikan peluang berkahwin. Ramai ibu bapa tidak mahukan anaknya berkahwin awal. Sebab? Jika ditanyakan, mereka tiada sebab yang munasabah. Mahukan anak belajar terlebih dahulu. Tidak mahu kerja terganggu buat masa ini. Macam-macam alasan diberikan. Ibu bapa sepatutnya lebih matang dalam urusan ini. Jika dilewatkan, maksiat berleluasa dan anak luar nikah dicampak dalam tong sampah. Nauzubillah. Encik Zamri menggelengkan kepala memikirkan nasib anak muda sekarang.
Maka sahlah Irshad dan Aisyah sebagai suami isteri, dengan majlis perkahwinan sederhana, hanya tetangga terdekat sahaja yang dijemput. Majlis dilaksanakan di rumah ibunya untuk menggembirakan hati ibunya. Biarlah rumah itu usang, di situlah lahirnya anak berjaya. Aku sayang mama aku yang telah banyak berkorban untuk aku. Irshad berbisik di hati.


****
Pintu diketuk.
“Takde orang kat dalam,” Aisyah berpura-pura.
“Abang masuk ye?”
“Masuklah, rumah dia jugak.”
Alhamdulillah, rumah ini dikurniakan atas usahanya bekerja keras untuk membeli tempat tinggal selesa untuk keluarganya. Mama turut dibawa untuk tinggal bersamanya, namun tidak lama selepas itu mama mahu pulang ke kampung kerana rumah usang tersebut mengait memori yang indah buatnya. Lagipun ada anak-anak kecil yang selalu datang mengaji dengan mama. Nanti sampai masa mama akan tinggal dengan Irshad.
“Alah dia merajuk ye? Macam mana muka merajuk Aisyah?”
“Taknak lah.”
“Yelah abang suap, nah buka mulut.”
Laju sahaja Aisyah duduk menghadap suaminya, senyuman diukir tanpa henti. Lesung pipit Aisyah menambahkan seri wajahnya. Alhamdulillah, terima kasih Allah.
Lauk tadi disuap banyak ke mulut Aisyah.
“Sedap abang. Air tangan suami. Abang nak? Saya suapkan jugak” Aisyah tertawa.
Mereka berdua saling menyuap. Yang halal, tiada siapa mampu halang. Mereka bercerita kenangan mereka sewaktu mula-mula kenal. Semua saling berdiam.
“Abang dulu tulah, diam je. Rupanya banyak cakap orangnya.”
“Aisyah tu? Baru abang tahu isteri abang ni kuat merajuk. Manje ye?”
Ruang bilik tersebut dipenuhi gelak ketawa mereka. Pastinya bidadari di syurga mencemburui Aisyah kerana menceriakan hati suaminya ketika di dunia lagi, apatah lagi di akhirat? 
“Aisyah, abang nak cakap sikit...”
Aisyah yang tadinya bibir dimekarkan dengan ketawa, kini serius memandang ke arah suaminya.
“Lusa abang kena pergi ke Syria, mereka tidak cukup tangan di sana.”
Mata isteri tercinta tunduk menghadap ke bumi. Isteri mana yang tidak sedih berjauhan dengan suaminya. Tambahan mereka masih baru berkahwin.
“Abang, bawak saya sekali lah.”
“Tak boleh, abang nak kamu jagakan mama abang kalau apa-apa terjadi.”
“Alah,” Aisyah diam seketika. “Berapa lama kat sana?”
“Dalam 4 hari. Sekejap sahaja.”
“Bagi Aisyah lama tahu tak bang.”
“Abang buat untuk Allah sayang.”
Mereka berdua berdiam diri. Sejak dari itu Aisyah kerap menangis di bahu suaminya, takut. Takut suaminya akan pergi. Semakin kerap mereka beribadah di tengah malam daripada biasa, memohon rahmat dan kasih sayang Allah agar permudahkan segalanya.


****

Usai bacaan Yassin, Aisyah mengesatkan air mata. Telah pergi insan yang disayangi.
Raihan dan Zaleeha sahabat karibnya memeluk Aisyah, mereka kerap menemani Aisyah ke tanah perkuburan ini. Mereka berdua beredar ke kenderaan mereka, meninggalkan Aisyah.
“Terima kasih.”
Aisyah memandu keretanya pulang ke rumah. Air mata mengalir, namun hatinya tetap tabah.
“Mama!”
Aisyah tersenyum melihat anaknya berlari ke arahnya. Alhamdulillah dikurniakan Allah cahaya mata yang comel ini menyerikan lagi hidupnya.
“Comelnya anak mama ni ye? Mama ada belikan tudung baru untuk Alia, Alia pakai nanti ye?”
Alia berlari kegembiraan membawa beg plastik yang berisi tudung sebentar tadi. Aisyah cuma ketawa melihat gelagat anaknya.
Purdah dan tudung dibuka, badan yang lesu disandarkan ke kerusi.
“Aisyah...”
Aisyah terjaga, suara yang dikenalinya, orang yang amat dicintai.
“Abang...”
“Maaf abang tak dapat ikut ziarah kubur kakak Aisyah tadi.”
“Tak mengapa saya faham abang kerja.”
Alia berlari ke arah papa, menunjukkan pada papanya tudung baru yang dibelikan mama.
“Lawanya anak papa. Sebiji rupa mama kamu,” Aisyah mencubit peha Irshad, tertawa.
“Terima kasih Aisyah. Awaklah cahaya yang menemani dan menyuluh kehidupan saya. Abang cintakan Aisyah.”
Aisyah cuma tersipu malu. Sama-sama abang....

Comments

Popular posts from this blog

Kisah Abu Talib…bapa saudara Rasullullah SAW

KETAHUI RAHSIA TARIKH LAHIR ANDA DAN PASANGAN

Burung Tiong dan Sakaratul Maut